Hadith Sohih



Bersabar dan Berdoa Menghadapi Penyakit

Daripada Ata’ bin Abu Rabah menerangkan bahawa Ibnu Abbas RA berkata, “Adakah engkau suka melihat seorang perempuan daripada ahli syurga?” Aku menjawab: Bahkan “Tunjukkanlah”. Ibnu Abbas RA berkata, itulah dia wanita yang hitam yang pada suatu hari telah datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata, “Ya Rasulullah, Aku berpenyakit gila babi hingga terbuka aurat. Doakanlah semoga Allah menyembuhkan penyakit aku”. Dijawab oleh Nabi SAW, “Jika mahu engkau hendaklah bersabar dan bagimu syurga, sebaliknya jika engkau mahu aku akan berdoa kepada Allah semoga dia menyembuhkan engkau”. Dijawab oleh wanita itu, “Aku akan bersabar. Jika begitu doakanlah kepada Allah supaya aku tidak terbuka aurat “. Rasulullah SAW lalu mendoakan untuknya sebagaimana dikehendakinya.


Bacaan Taawuz Mereda Marah

Daripada Sulaiman bin Surad RA katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi SAW sedang dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda”, “Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia kata (baca), “Auzubillahi minas syaitanir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya.” Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawasanya Nabi SAW bersabda : Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam. 




Tegahan Marah

Daripada  Abu Hurairah RA, bahawa seseorang telah berkata kepada Nabi SAW, “Nasihatilah aku”, Lalu Nabi SAW bersabda, “Jangan marah”, maka berulang-ulang orang itu meminta dinasihati, jawab Nabi “Jangan marah.”


Hidup Suatu Ujian



Daripada  Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW, “Malapetaka itu akan terus menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan, menimpa dirinya, anaknya ataupun hartanya sehingga dia menemui Allah Taala dalam keadaan bersih daripada segala kesalahan.”




Perbuatan Mungkar Berleluasa Di Akhir Zaman


Daripada Ibnu Mas`ud RA bahawa  Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya akan berlaku (secara berleluasa) sepeninggalanku nanti sifat mementingkan diri dan perbuatan mungkar”. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah apakah pesananmu kepada kami”, Sabda Rasulullah SAW, “Tunaikan kewajipan kamu dan mintalah kepada Allah untuk mendapatkan hak kamu.”




Sebarang kemusykilan berkenaan hadith-hadith ini anda boleh rujuk kepada Kitab-kitab hadis terkemuka ataupun di laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)   http://www.islam.gov.my/e-hadith